Polis melepaskan dengan jaminan seorang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) yang membuat kenyataan berbaur ugutan di laman sosialnya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam. Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob, berkata polis membebaskan pelajar terbabit selama sebulan tetapi boleh memanggilnya pada bila-bila masa sekiranya perlu bagi membantu siasatan.
“Dia adalah pelajar tahun keempat jurusan kejuruteraan, dan sedang menduduki peperiksaan. Polis membebaskannya bagi membolehkan dia menduduki peperiksaan hari ini,” katanya selepas perhimpunan bulanan Polis Diraja Malaysia di sini, hari ini.
Dia ditahan pada jam 1.30 petang semalam selepas polis mendapat maklumat mengenai kenyataannya itu. Siasatan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Ayub berkata, berdasarkan siasatan yang dijalankan, pelajar itu mengakui kenyataan itu dibuat dengan kehendaknya sendiri dengan niat bergurau.
“Kita bukan hendak menyekat kebebasan bersuara tetapi sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab sepatutnya dia tidak menyalahgunakan kebebasan bersuara dan penggunaan internet sehingga boleh menimbulkan kekecohan dan kemarahan pihak lain.
“Perkara seperti ini satu yang serius dan tidak boleh dianggap main-main, ia membabitkan keselamatan pemimpin negara dan secara tidak langsung orang awam yang lain juga,” katanya.
Ayub berkata, polis masih meneruskan siasatan mengenai latar belakang pelajar itu serta hubungannya kerana dikhuatiri mempunyai kaitan dengan anasir subversif.
Setakat ini terdapat tiga laporan polis dibuat -pihak yang membantah tindakan pelajar itu. – BERNAMA
PS:Kerana pulut santan binasa,kerana mulut lu pikir la sendiri...
No comments:
Post a Comment