Bangkai ikan sardin terdampar di pelabuhan Ohara, Jepun

OHARA, Jepun 8 Jun - Perairan di bandar pelabuhan Ohara, di sini bertukar menjadi warna merah selepas lebih 200 tan ikan sardin yang telah mati ditemui terdampar di pelabuhan itu sejak 3 Jun lalu.

Keadaan tersebut menghasilkan bau yang tidak menyenangkan di pelabuhan itu, yang terletak di bahagian utara perairan Lautan Pasifik, di wilayah Chiba.

Menurut penduduk bandar Isumi yang terletak berdekatan pelabuhan itu, usaha memindahkan bangkai ikan-ikan itu untuk dilupuskan sudah dijalankan, namun ia tidak berhasil kerana ombak kuat terus membawa bangkai ikan-ikan baru ke situ.

"Kejadian aneh ini sangat luar biasa. Walaupun berpuluh-puluh trak mengandungi bangkai ikan- ikan itu sudah diangkut untuk dilupuskan, namun jumlah bangkai ikan yang terapung di pelabuhan itu seakan-akan tidak berkurangan," kata seorang penduduk.

Ekoran itu, pelabuhan itu telah ditutup dari 1 hingga 5 Jun lalu, menyebabkan nelayan tempatan menghadapi masalah.

Tahun lalu, berjuta-juta bangkai ikan ditemui terapung dekat pelabuhan King Harbour, California yang dipercayai mati akibat kekurangan oksigen kerana terperangkap, menurut pakar.

Penduduk tempatan percaya bangkai ikan berwarna perak yang terapung memenuhi King Harbour, Pantai Redondo, selatan Los Angeles itu dibawa oleh ombak kuat, lalu terdampar di situ. - AGENSI

No comments:

Post a Comment